Erti sebenar guru cemerlang-dipetik dari UM 3/12/2009
SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.
Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.
Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.
Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.
Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.
Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.
Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?
Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!
Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.
Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.
Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.
Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.
Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?
Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.
Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.
Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.
Guru bukan sekadar mendidik
KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia 3 Disember 2009 bertajuk Fokus pada mengajar murid-murid, bukan buat kerja pentadbiran: Erti sebenar guru cemerlang.
Kenyataan 'Guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab yang diberikan oleh pengetua atau guru besar mereka', adalah ucapan saya semasa perasmian konvensyen guru baru, IPGM yang berjumlah lebih daripada 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.
Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi.
Kenyataan Akmal Fairuz dalam Forum, Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009 tentang tugas profesional guru dan tugas pentadbiran masih boleh dipersoalkan. Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa atau penjaga adalah sebahagian daripada tugas profesional guru.
Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka. Makluman ini bukan sahaja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa atau penjaga.
Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada tugas guru untuk mendidik setiap individu murid bagi mencapai objektif pendidikan.
Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.
Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif murid-murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian dengan keperluan murid.
Usaha ini melibatkan pembentukan nilai-nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan serta lain-lain aktiviti luar darjah.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhasrat untuk memperkasakan sukan dan permainan di sekolah bagi tujuan melahirkan atlet muda. Hal ini sudah tentulah memerlukan komitmen para guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid-murid.
Oleh itu, latihan sebegini merupakan juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.
Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik dalam kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua atau guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain daripada urusan pentadbiran yang biasa.
Guru mempunyai kelebihan daripada aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak atau remaja dan kepakaran dalam pedagogi.
Maka semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak.
Berkaitan dengan pandangan Akmal Fairuz bahawa guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah sahaja tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Ini disebabkan mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara yang melibatkan pendidikan dan melahirkan modal insan.
Tidak salah guru berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua atau Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) hinggalah ke peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju.
Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat, selaras dengan gagasan '1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Guru wajar dilibatkan tugasan lain
SAYA merujuk kepada surat saudara Akmal Fairuz bertajuk Erti sebenar guru cemerlang yang disiarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009. Luahan beliau memaparkan rasa tidak puas hati diri sendiri dengan cuba memperbesarkan beberapa isu remeh yang menunjukkan beliau kurang jelas tentang peranan seseorang guru, peranan Kementerian Pelajaran, peranan pengurus sekolah, peranan pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), malah peranan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Beliau menyebut hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugas sebenar. Saya tidak pasti dari manakah fakta ini diperoleh atau itu merupakan dapatan kajian beliau yang boleh diperakukan. Semua yang bergelar guru tentu maklum bahawa tugas utama atau guru adalah mengajar.
Tetapi ini tidak bererti guru tidak boleh melibatkan diri atau dilibatkan dengan pelbagai tugasan lain. Masih lagi terngiang-ngiang di telinga saya tentang kata-kata seorang pensyarah semasa saya masih di Maktab Perguruan (sekarang IPGM) lewat tahun 70-an dahulu; ''Guru adalah segala-galanya''. Ungkapan keramat itulah yang menjadikan kami menghayati peranan dan pengorbanan sebagai guru.
Melaksanakan tugasan lain bukan bererti ia perlu dibuat sehingga mengabaikan tanggungjawab masuk ke kelas untuk menyempurnakan pengajaran dan pembelajaran (P&P). Guru perlu bijak mengimbangi masa dan kepelbagaian tugasan kerana ia bukan sahaja memberikan seseorang guru itu pengalaman yang berharga bahkan dapat meningkatkan pelbagai kemahiran dalam melaksanakan tugasan lain.
Erti guru yang sebenar ialah guru yang bijak mempelbagaikan potensi serta kebolehan diri baik dari aspek P&P mahupun tugas sampingan yang diamanahkan kepadanya. Memang terdapat guru yang hanya pandai merungut dan menolak tugasan lain yang diberikan tetapi adakah guru seperti ini menolak kenaikan pangkat secara time-based setelah 10 tahun berkhidmat?
Bagi saya Kementerian Pelajaran Malaysia amat peka dengan beban tugas guru kerana saya juga terlibat secara langsung dalam 'Wacana Beban Tugas Guru' yang turut dihadiri sepenuhnya oleh Timbalan Menteri Pelajaran tidak lama dahulu.
Penambahbaikan
Hakikatnya kerajaan, melalui Kementerian Pelajaran Malaysia, sentiasa melaksanakan penambahbaikan demi memartabatkan guru dan pendidikan. Contohnya meningkatkan norma perjawatan guru dalam pelbagai aspek tugasan dari masa ke semasa.
Barangkali saudara masih baru sebagai guru atau sebagai orang muda yang kurang sabar melihat perkembangan yang pada saudara perlu dilaksanakan dalam sekelip mata. Ingatlah sahabatku, organisasi pendidikan adalah organisasi yang terbesar dalam perkhidmatan awam.
Jika dibandingkan laluan kerjaya atau seorang guru yang mula mengajar pada tahun 70-an dan sebelumnya dengan era guru 90-an hingga kini, memang ternyata ia berbeza. Saban tahun ramai yang memohon untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).
Ada antara mereka dari kalangan jurutera, bidang guaman dan sebagainya yang ingin menempatkan diri sebagai pendidik sedangkan tawaran yang dapat diberikan tidak sebesar jumlah yang memohon. Jelas profesion guru tetap menjadi rebutan ramai.
Beberapa tuduhan yang mempertikaikan kebolehan seseorang guru seperti 'bestari', 'cemerlang' dan 'pakar' amatlah tidak bertanggungjawab. Proses melantik seseorang Guru Cemerlang bukanlah sesuatu proses yang boleh dibuat secara semberono. Selain permohonan rasmi oleh seseorang guru itu sendiri, perakuan dan sokongan daripada pentadbir sekolah, penilaian oleh rakan-rakan guru serta warga sekolah dan penilaian oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti baru boleh memartabatkan seseorang guru itu sebagai Guru Cemerlang.
Saudara tentu tahu bidang kecemerlangan seseorang Guru Cemerlang atau Guru Pakar. Guru juga banyak ruang dan peluang untuk menambah ilmu di dada dengan mengikuti program Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR) atau melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan menyertai program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) sehingga ke tahap Doktor Falsafah. Kita tidak seharusnya memberi pandangan berasaskan pengalaman singkat, pengetahuan dan ilmu yang cetek dan jangan sekali-kali berasaskan emosi.
Sewajarnyalah seseorang guru itu, berdasarkan pengalaman, ilmu dan kebolehan memimpin, diberi penghormatan serta kepercayaan menjadi pemimpin organisasi pendidikan samaada sebagai Ketua Panitia Mata Pelajaran, Ketua Bidang, Guru Kanan Mata Pelajaran, Ketua Jabatan, Guru Penolong Kanan, Pengetua, Guru Besar, Pegawai Pelajaran Daerah, Pengarah Pelajaran hatta sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Kecemerlangan
Mereka inilah yang memartabatkan dunia pendidikan sehingga terjelma Sekolah Cemerlang, Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi atau setidak-tidaknya meningkatkan peratus kecemerlangan pelajar dan sekolah dalam peperiksaan awam di seluruh negara.
Kedinamikan arena pendidikan memerlukan guru yang serba boleh. Arah tuju pendidikan masa kini adalah ke arah melahirkan modal insan yang terbilang dan berminda kelas pertama.
Marilah kita hayati sepenuhnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan, rungkaikan apa yang tersirat dan apa yang tersurat. Akhir kata, tugas mendidik ke arah 'kemenjadian' seseorang pelajar itu bukanlah terletak semata-mata di atas bahu guru semata-mata, bahkan melibatkan institusi keluarga dan juga masyarakat secara langsung.
ALZAMAN
Pulau Pinang
++++++++++++++++++++++++++++
Kemelut profesion guru akan berterusan
TULISAN Tan Sri Alimudin Mohd. Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) dan saudara Alzaman mengenai rungutan beban kerja guru jelas menunjukkan bahawa mereka tidak sedar apa beban kerja yang sering menjadi bebelan para guru.
Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka menunjukkan bahawa mereka tidak mengerti perkembangan dunia pendidikan masa kini.
Mereka sepatutnya meninjau pendapat para guru itu sendiri apakah beban kerja tersebut dan bagaimana hendak meningkatkan kualiti pendidikan negara. Bukannya hanya sekadar meneliti laporan 'cantik' dan ungkapan 'semua berjalan lancar' dari mulut pegawai-pegawai sahaja.
Jika KPPM turun padang, jawapan yang pasti keluar daripada mulut guru-guru ialah 'buang jauh-jauh' kerja-kerja perkeranian dari senarai bidang tugas para guru. Mereka harus mengakui kerja-kerja perkeranian menganggu proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) kerana seluruh warga pendidik merintih akibat gangguan tersebut.
Sebagaimana yang ditulis oleh KPPM bahawa menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa atau penjaga kerana itu adalah sebahagian daripada tugas profesional guru tetapi seingat saya tidak pernah para guru merungut mengenai tugas seperti itu.
Kenyataan KPPM bahawa sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah. Seingat saya juga tidak pernah ada para guru yang merungut atau menulis di media massa mengenai kegiatan ko-kurikulum dan menganggapnya sebagai beban.
Begitu juga dengan penulisan saudara Alzaman yang mungkin sudah ketinggalan zaman yang masih dibuai oleh kata-kata hikmat dan keramat pensyarah zaman pop yeh-yeh beliau iaitu "Guru adalah segala-galanya" sedangkan hakikatnya guru-guru yang seangkatan dengan saudara Alzamanlah yang sering merungut bahawa dunia pendidikan sudah tidak seperti dahulu lagi kerana mereka dapat menilai perbezaan tugas mengajar dahulu dengan bebanan kerja perkeranian yang diletakkan di atas bahu guru-guru sekarang.
Buktinya ada yang berkira-kira untuk bersara awal malah ada yang telah berhenti kerana mereka menjadi guru kerana minat mengajar bukannya minat menjadi kerani!
Janganlah demi untuk menutup 'penindasan terhormat' terhadap guru-guru, ungkapan, perumpamaan dan istilah-istilah seperti 'guru adalah segala-galanya', 'semakin banyak tugas-tugas perkeranian dan perburuhan maka semakin profesionallah para guru' dan banyak lagi ungkapan dicipta. Sebaik-baiknya biarlah guru kekal dengan ungkapan keramat nan satu iaitu 'guru ibarat lilin membakar diri menerangi orang lain'!
Baru-baru ini Menteri Pelajaran telah melancarkan Standard Guru Malaysia (SGM) yang bertujuan untuk memartabatkan profesion perguruan ke suatu aras yang lebih tinggi. Namun pastikan ia bukan satu lagi projek yang akan mengganggu P&P para guru, yang boleh dieksploitasi oleh para pentadbir sekolah untuk menekan para guru supaya menyediakan pelbagai laporan dan statistik yang akhirnya akan digunakan oleh pihak pentadbir sebagai bukti untuk kecemerlangan kerjaya mereka sahaja!
Pentadbir sekolah berjaya merangkul pelbagai anugerah dan pujian, malangnya para guru pula semakin tertekan dan para pelajar yang akan menjadi mangsa.
NORHISYAM MOHAMAD
Alor Star, Kedah
No comments:
Post a Comment